USAHAWAN KECIL DAN SEDERHANA TIDAK FOKUS
~Usahawan Melayu Hilang Arah (Milenia)(January)
Terlalu banyak persepsi negatif dilontarkan kepada GLC sedangkan realitinya individu atau syarikat itu perlu lebih meningkatkan pencapaian dan mampu membuktikan kepada GLC mereka layak untuk diberikan peluang dalam system sedia ada.
Pada masa yang sama, kira-kira 600,000 usahawan kecil dan sederhana (IKS) memerlukan sokongan kerajaan dan institusi kewangan. Mereka masih menghadapi masalah keupayaan, ruang dan kawasan niaga yang strategij serta sistem pemasaran yang efisien.
Banyak kelemahan Bumiputera dikenal pasti. Ada yang mengatakan krisis ekonomi 1997 memberi kesan langsung kepada banyak syarikat Bumiputera. Misalnya sebahagian besar syarikat vendor Bumiputera gulung tikar.
Justeru, ada yang mengaitkan selain kelemahan syarikat Bumiputera mendapat modal, pengurusan lemah dan sumber perbekalan dalam kelompok (kluster) ekonomi yang diceburi oleh orang Melayu di pasaran tempatan atau luar Negara tidak dibantu oleh GLC.
Sebaliknya, GLC pula berpandangan sudah banyak membantu usahawan dan syarikat Bumiputera, melalui system vendor, peluang perniagaan, konsep paying, malah, meliputi pembangunan latihan di kalangan usahawan tulen dan berpotensi untuk berdaya saing sehingga mampu menubuhkan syarikat sendiri dan berdikari tanpa sokongan lagi
Ketua Eksekutif, POS Malaysia, Tan Sri Adam Kadir, dalam nada berseloroh berkata, “ada syarikat Bumiputera yang kuat tapi diatasi oleh angka yang tidak berapa kuat.” Ini jelas membawa maksud bahawa tidak banyak syarikat Melayu yang menepati syarat yang ditetapkan oleh GLC.
Malah, syarikat Bumiputera banyak yang tidak menepati ‘benchmark’ untuk bersaing di pasaran terbuka. Keadaan ini lebih memburukkan lagi kerana sejarah perniagaan bangsa Melayu hanya terserlah selepas DEB berbanding kaum lain yang menjalankan perniagaan yang diwarisi dari generasi ke generasi.
“Tetapi jika kita ambil kira negara maju, pengagihan ekonomi kita dilihat sederhana untuk semua kaum. Tujuan kerajaan ‘baik’ tetapi tidak diterjemahkan kepada keberkesanan dalam pelaksanaannya. Hanya syarikat yang benar-benar menepati benchmark GLC dan mampu berdaya saing akan dipilih oleh GLC yang menilai potensi syarikat-syarikat ini dari pelbagai sudut,” kata Adam.
Katanya lagi, apabila sebuah negara sudah masuk dalam system kepitalis, pasaran saham bukan penunjuk terbaik untuk mengatakan GLC berada di tahap tinggi kerana dalam perniagaan factor kemanusiaan turut diambil kira.
“Bila seseorang itu ceburi perniagaan, bukan untuk cuba-cuba sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan kepada satu jenis perniagaan saja, ia akan lebih kukuh kerana untuk menjadi seorang yang lebih berkemahiran akan lebih mudah untuk sebuah perniagaan itu berkembang,” tegasnya yang menjelaskan kegagalan syarikat Bumiputera tidak diberi peluang oleh GLC antaranya kerana proofil syarikat yang dilihat menceburu pelbagai bidang perniagaan dan pengurusan kewangan yang lemah.
Penasihat Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Kamal Salih menjelaskan kebanyakan projek yang disalurkan kepada GLC tidak mengalir secara berkesan kepada kumpulan sasaran. Strategi kewangan untuk membiayai kelompok industri juga masih belum jelas.
Ini menyukarkan usahawan Bumiputera berkembang dan bersaing.
“Penyelarasan di peringkat pelaksanaan di kalangan kementerian dan agensi masih lemah, terutama dalam perancangan projek. Ini menyebabkan berlakunya pembaziran,” katanya sewaktu ditemui selepas membentangkan kertas kerjanya dalam konvensyen yang bertajuk: ‘ Pendekatan Pengkorporatan Bumiputera,’ anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan Pemuda UMNO.
Menurutnya, melalui pengkorporatan dan revolusi ekonomi Bumiputera yang digerakkan GABEM, akan melonjakkan orang Melayu untuk berdaya saing.
Menyedari kelemahan Bumiputera dalam pelbagai bidang, EPU menggariskan strategi tertentu bagi meningkatkan daya saing Bumiputera melalui misi Masyarakat Perdagangan Perindustrian Bumiputera 2 (MPPB2) yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan sector swasta melaui inisiatif pembangunan kelompok; memudahkan pembangunan usahawan Bumiputera ke tahap lebih tinggi; meningkatkan pembangunan perusahaan Bumiputera dalam pertumbuhan baru; mempergiatkan penglibatan (GLC) serta mengukuhkan pendekatan perkongsian awam-swasta dan; mengukuhkan mekanisme pemantau program MPPB2 bagi memastikan pelaksaan dan penyelarasan yang efektif.
Bagi meningkatkan daya saing Bumiputera, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperuntukkan RM1.33 bilion dalam RMK-9 bagi skim pembiayaan pinjaman melalui agensi-agensinya seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Bank, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) pula menganjurkan 200 program bantuan IKS bernilai lebih RM3 bilion yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Pusat dan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Noharuddin Nordin berkata, usahawan Bumiputera perlu membuat bantuan dana yang diuruskan oleh kementerian dan agensi kerajaan.
Pada masa ini, banyak syarikat bukan Bumiputera meraih faedah daripada program bantuan dana oleh kerajaan, walaupun bantuan yang mereka boleh diperoleh tidak sebanyak yang dinikmati oleh usahawan Bumiputera.
“ Kami agak hairan melihat syarikat bukan Bumiputera yang besar sanggup mengisi borang dan datang ke jabatan kerajaan untuk mendapat bantuan yang jumlahnya boleh dianggap kecil dalam konteks perniagaan mereka. Tetapi, mereka sanggup memohon,’ katanya yang menyarankan agar dewan atau persatuan perniagaan turut memainkan peranan menghebahkan peruntukan dana sedia ada dan isu-isu lain berkait-an kepada ahli mereka.
Timbalan Pengarah Keusahawanan MARA, Othman Ahmad menjelaskan melalui RMK-9, kerajaan memperuntukkan RM200 bilion untuk disalurkan kepada kementerian dan agensi dalam tiga sektor utama ekonomi seperti perkilangan, pembuatan dan pertanian.
“Sekiranya masih wujud usahawan Bumiputera yang gagal mengembangkan perniagaan, ia banyak berhubung kait dengan sikap dan daya usaha mereka untuk memajukan diri dan perniagaan, bukannya tidak cukup dana yang disediakan oleh kementerian atau agensi terbabit,” jelasnya.
Perbadanan Usahan Nasional Berhad (PUNB) sejak ditubuhkan pada 1991 menyediakan empat skim membantu usahawan Bumiputera seperti Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER), Skim Prosper Siswazah dan Pemborongan.
Pengurus Besar Bahagian Pelaburan PUNB, Dzulkifli Fadzilah, menjelaskan dari tahun 2005-2008 PUNB menyalurkan bantuan dana sejumlah RM300 juta kepada empat skim yang disediakan.
Beliau tidak menyangkal factor birokrasi wujud dalam menyalurkan dana kepada usahawan. Ini dilakukan bagi memastikan usahawan tulen yang berpotensi untuk dimajukan akan diberikan dana keusahawanan.
Terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti sebelum dana disalurkan oleh kementerian atau agensi.
Di PUNB daripada 1,600 usahawan yang dilahirkan hanya 45 peratus adalah berjaya, 16 peratus gagal, tiga peratus usahawan baru dan 36 peratus lagi di kalangan usahawan yang perlu diberikan sokongan berterusan untuk memajukan perniagaan mereka.
“Dana yang diperuntukkan oleh kerajaan atau agensi meningkat dari setahun ke setahun tetap untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing kurang memberangsangkan kerana kelemahan usahawan untuk menjadi pembekal dan kelemahan rantaian pasaran erhadap sesuatu produk.
PUNB sedia membantu usahawan selain menyediakan dana, latihan dan khidmat nasihat, Bagaimana pun, kebergantungan kepada kerajaan atau agensi saja tidak mencukupi tanpa daya usaha usahawan sendiri untuk memastikan perniagaan mereka berkembang.
Dalam RMK-9 kerajaan menjangkakan dapat melahirkan 68,000 usahawan baru sehingga 2010, di samping melatih seramai lebih 120,000 usahawan sedia ada melalui pelbagai program pembangunan usahawan yang akan menawarkan lima juta peluang pekerjaan dalam IKS.
IKS yang menyumbang hamper 50 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi hanya terdapat lebih kurang 2,000 syarikat yang berjaya memasarkan produk mereka ke pasaran luar negara sama ada dengan inisiatif sendiri atau dengan bantuan daripada MATRADE. |