- IES 2009 (Malay)  
   - IES 2009 (Mandarin)  
     
     
  Articles
 
Building Your Business
Jadilah Usahawan Dari Rumah
Malaysia Budget 2009
Rangcangan Malaysia ke-9
Tidak Mempunyai System Untuk Berjaya
Usahawan Kecil dan Serdahana Tidak Fokus
What Can You Do In Though Times
 
 
   
Other Articles: Building Your Business
  Jadilah Usahawan Dari Rumah
  Malaysia Budget 2009
  Rangcangan Malaysia ke-9
  Tidak Mempunyai System Untuk Berjaya
  Usahawan Kecil dan Serdahana Tidak Fokus
  What Can You Do In Though Times
   
RANCANGAN MALAYSIA KE SEMBILAN (2006-2010)
BAB 09 : MEMESATKAN PERDANGANGAN PENGEDARAN

III : PROSPEK 2006-2010

9.19 Dalam tempoh RMKe-9, sektor perdagangan pengedaran dijangka berkembang pada kadar purata 6.8 peratus setahun berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi, guna tenaga dan pendapatan bolehguna serta saling melengkapi dengan sektor lain. Ekoran daripada perubahan sosial, pembandaran dan gaya hidup penduduk, sektor perdagangan pengedaran akan terus mengalami perubahan struktur yang memberi impak kepada pembangunan sektor ini pada masa hadapan terutamanya perniagaan tradisional. Perubahan struktur sektor ini dijangka berlaku dalam pelbagai bentuk daripada integrasi dan pengukuhan perniagaan bagi meraih ekonomi bidangan, memperluas rangkaian di sepanjang rantaian nilai yang lebih tinggi kepada mempromosi konsep baru dalam aktiviti borong dan runcit.

9.20 Menyedari perlunya pembangunan dan pemantauan yang teratur dalam sektor perdagangan pengedaran domestik, usaha akan diambil untuk memperkemas garis panduan dan rangka kerja kawal selia. Perkongsian dan kerjasama strategik serta jaringan perniagaan akan digalakkan bagi meningkatkan usaha ke arah menembusi pasaran global. Selaras dengan perubahan pola penggunaan dan gelagat pengguna, sektor perdagangan pengedaran perlu segera mengubah serta mengguna pakai strategi dan konsep peruncitan baru dan yang dibuat penambahbaikan bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna. Walaupun akan berlaku perubahan, usaha akan dipertingkatkan bagi menentukan pembangunan yang lebih seimbang antara pemborong dan peruncit berskala besar dengan perniagaan tradisional yang kecil. Peraturan dan keperluan zon bagi perniagaan berskala besar akan terus dikuatkuasakan.

9.21 Dengan jangkaan penstrukturan semula, persaingan dan pemodenan sektor perdagangan pengedaran, teras strategik bagi RMKe-9 adalah seperti berikut:

a) memantapkan rangka kerja kawal selia untuk menggalakkan pembangunan perdagangan pengedaran;

b) memperkukuhkan kaedah pengedaran bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing;

c) mempercepatkan pertumbuhan e-dagang bagi menyokong pemodenan dan pengembangan sektor;

d) memperluaskan skop dan meningkatkan skala penyertaan Bumiputera bagi menikmati faedah daripada pertumbuhan sektor; dan

e) meningkatkan kesedaran dan pendidikan pengguna.

Pemantapan Rangka Kerja Kawal Selia

9.22 Dalam tempoh RMKe-9, usaha akan dipergiat bagi meningkatkan daya saing untuk mencapai pembangunan mampan dalam perdagangan pengedaran. Langkah akan diperkukuh untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi persaingan sihat dan amalan perdagangan adil, khususnya dalam konteks peningkatan persaingan dan globalisasi. Antara langkah tersebut, Akta Amalan Perdagangan Adil (FTPL) yang berasaskan Dasar Amalan Perdagangan Adil akan digubal dan dilaksanakan secara berperingkat. Dari segi sokongan institusi, penubuhan Pejabat Amalan Perdagangan Adil, Suruhanjaya Amalan Perdagangan Adil serta Tribunal Rayuan Amalan Perdagangan Adil akan ditubuhkan secara berperingkat. Jaringan Persaingan Malaysia akan ditubuhkan bagi menyediakan saluran perbincangan antara agensi awam dan sektor swasta dalam penggubalan strategi di bawah FTPL.

Pengukuhan Perdagangan Pengedaran

9.23 Sektor perdagangan pengedaran menawarkan banyak peluang yang belum diceburi dalam pelbagai pelaburan baru terutamanya bagi memenuhi permintaan penduduk yang semakin bertambah dengan taraf hidup dan tahap kemewahan yang meningkat. Dalam tempoh RMKe-9, lebih banyak pengedar tempatan dan asing dijangka akan memperkenalkan pelbagai konsep borong dan runcit. Perubahan struktur ini akan berlaku melalui penempatan kedai runcit di lokasi yang lebih terancang yang diintegrasikan secara strategik dengan pelbagai jenis aktiviti berkaitan seperti liburan, hiburan, rekreasi dan membelibelah. Perubahan ini membuka peluang dan sumber pertumbuhan baru dalam sektor perdagangan pengedaran.

9.24 Usaha akan diambil bagi mengukuhkan kapasiti dan keupayaan peruncit dan pemborong tempatan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan kehendak dan citarasa pengguna. Usaha yang lebih gigih akan diambil bagi membangunkan jenama dan rantaian peruncit tempatan. Antara lain, pangkalan data yang lebih komprehensif akan diwujudkan bagi memantau dan menilai trend dan perubahan struktur yang akan berlaku dalam sektor perdagangan pengedaran serta menilai keberkesanan program dan projek yang dilaksanakan. Pangkalan data tersebut juga menyediakan maklumat yang lebih tepat bagi penggubalan dasar serta mengenal pasti dan mengkaji pendekatan baru yang lebih kondusif dalam konteks tempatan sebelum diguna pakai.

9.25 Sebagai usaha meningkatkan kedinamikan sektor perdagangan pengedaran, penekanan akan diberi kepada usaha mengenal pasti dan membangunkan kaedah pengedaran yang inovatif serta memperkukuhkan kecekapan, khususnya dalam rantaian bekalan. Langkah akan diambil bagi meningkatkan penyertaan dalam rantaian bekalan domestik dan global dengan penekanan terhadap pembangunan jenama, penandaarasan dengan produk yang sama, peningkatan kualiti, pembungkusan dan penetapan harga yang berdaya saing serta promosi dalam pelbagai pasaran. Dengan persaingan yang semakin meningkat, penekanan yang lebih akan diberi kepada usaha menggalakkan pakatan strategik antara pembekal dengan pembeli termasuk hypermarket asing bagi mengembangkan kerjasama di peringkat antarabangsa dan penglibatan dalam pasaran global. Program latihan mengenai pengurusan perniagaan moden terutamanya bagi EKS akan dipergiatkan lagi bagi membolehkan mereka menjalan dan melaksanakan pendekatan baru dalam aktiviti borong dan runcit.

9.26 Penggunaan sistem pelekat pengenalpastian frekuensi radio (RFID) secara berperingkat merupakan satu inovasi teknologi penting yang dijangka menyumbang kepada pengurusan keseluruhan rantaian bekalan yang lebih baik bagi memudahkan pengesanan terperinci kitar hayat dan pengesahan ketulenan produk. Penggunaan RFID boleh meliputi pelbagai akitiviti dalam keseluruhan proses pembuatan dan pengedaran yang mampu menyediakan maklumat terperinci bagi meningkatkan kualiti, ketepatan masa dan kecekapan, mempercepatkan penghantaran dan mengurangkan kos keseluruhan.

9.27 Jualan Langsung. Akta Jualan Langsung 1993 akan dikaji semula bagi menangani perubahan keperluan industri dan meningkatkan mekanisme kawal selia. Syarikat jualan langsung akan digalakkan untuk membangun dan mempromosikan produk melalui peningkatan kualiti secara berterusan, pembungkusan yang inovatif, penjenamaan dan peningkatan eksport. Bagi tujuan ini, program latihan untuk ahli jualan langsung akan diperkukuh bagi meningkatkan kemahiran dalam pemasaran, komunikasi dan pengurusan serta menerapkan etika perniagaan yang baik. Dalam RMKe-9, sebanyak 100 syarikat jualan langsung Bumiputera disasar untuk dibangunkan. Di samping itu, syarikat jualan langsung tempatan akan digalak supaya mengembangkan operasi ke luar negara terutamanya di rantau Asia Pasifik.M

9.28 Francais. Dalam tempoh Rancangan, program pembangunan francais akan diperkukuh bagi pemadanan francaisor dengan francaisi, pembangunan produk dan latihan yang lebih berkesan. Bagi membolehkan penyertaan lebih ramai usahawan, penekanan yang lebih akan diberi kepada usaha mengenal pasti dan mempromosi francais yang memerlukan modal asas yang rendah. Pendekatan baru akan dibentuk oleh PNS bagi mempromosi pembangunan produk francais tempatan. Selain itu, skim pembiayaan sedia ada akan dikaji semula dan prosedur dipermudah bagi mempertingkatkan akses kepada dana. Di samping itu, koperasi akan digalak supaya memanfaatkan jaringan luas dan bilangan ahli yang ramai bagi membangunkan francais. Pangkalan data bersepadu bagi francais akan dibangunkan bagi melaksanakan perancangan, pemantauan dan kerjasama yang lebih baik di kalangan usahawan francais tempatan dan asing. Francaisor tempatan yang lebih berjaya akan digalak supaya mengembangkan operasi ke luar negara dan memperoleh peluang yang wujud daripada peraturan serantau dan pelbagai hala seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

9.29 Pengukuhan EKS dalam Perdagangan Pengedaran. Memandangkan lebih 85 peratus daripada EKS dalam negara terlibat dalam aktiviti perdagangan pengedaran, usaha yang lebih gigih akan diambil bagi menggalakkan pembangunan infrastruktur sokongan seperti kemudahan premis perniagaan dan perkhidmatan berkaitan serta memperkukuhkan latihan pengurusan dan teknikal. Kerajaan akan meneruskan kerjasama dengan pihak industri bagi merangka langkah berkesan untuk mempertingkatkan rantaian antara firma dan akses kepada pasaran termasuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan di sepanjang rantaian bekalan yang lebih tinggi. Memandangkan perdagangan borong dan runcit berskala besar akan berkembang pesat, tumpuan yang lebih akan diberi kepada pembangunan perniagaan kecil. EKS akan dibantu bagi mengedarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang inovatif serta meningkatkan keupayaan supaya dapat beroperasi di kompleks membeli-belah bertaraf tinggi yang strategik dan destinasi pelancongan yang popular. EKS juga digalakkan untuk meningkatkan bahagian pasaran domestik serta meneroka ke pasaran eksport. Perniagaan tradisional akan digalakkan supaya menggunakan pengetahuan mengenai pasaran khusus bagi memberi perkhidmatan kepada pasaran terpilih dan menawarkan perkhidmatan mengikut kehendak pelanggan. Akses kepada maklumat dan risikan pasaran akan dipertingkat bagi membantu kepelbagaian barangan yang ditawarkan selaras dengan trend pengguna yang sentiasa berubah.

9.30 Bagi enterpris kecil tradisional, Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk menubuhkan lebih banyak lagi arked membeli-belah, pusat peniaga kecil, medan selera serta pasar tani dan pasar malam di lokasi yang strategik. Penekanan juga akan diberi bagi meningkatkan akses peniaga kecil kepada kemudahan sokongan supaya dapat membantu membangunkan perniagaan mereka dan menggalakkan bekerja sendiri.

9.31 Hak Harta Intelek. Langkah akan terus diambil dalam tempoh Rancangan bagi memastikan pengurusan IPR dan sistem perlindungan yang cekap dan berkesan untuk menyokong pembangunan perdagangan pengedaran dalam aspek inovasi produk dan penjenamaan. MyIPO akan mempercepat proses pendaftaran cap dagangan dan paten bagi melindungi kepentingan syarikat tempatan dan asing supaya potensi faedah diperolehi sepenuhnya. Sehubungan ini, keupayaan dan kepakaran MyIPO akan terus diperkembang dan diperkukuhkan. Penekanan yang lebih akan diberi kepada meningkatkan kesedaran mengenai IPR, kepentingan IPR sebagai sumber kekayaan dan modal intelek serta faedah komersil daripada perlindungan IPR.

9.32 Bagi menerap amalan perniagaan beretika, menghapuskan amalan perdagangan tidak sihat dan melindungi kepentingan pengguna, agensi penguatkuasa akan diperkukuh dengan menambah pejabat cawangan, kakitangan serta meningkatkan kemahiran operasi. Tumpuan yang lebih akan diberi terhadap pencegahan ke atas kesalahan pemalsuan dan pelanggaran hak cipta. Bagi mengatasi cabaran yang semakin meningkat dalam aktiviti penguatkuasaan, keupayaan pengumpulan maklumat risikan dan pengawasan, serta penyiasatan dan pendakwaan akan diperkukuhkan.

Pencepatan Penggunaan e-Dagang

9.33 Dalam tempoh RMKe-9, nilai transaksi e-dagang dijangka berkembang pada kadar purata 27 peratus setahun bagi mencapai RM155 bilion pada tahun2010. Bagi mengukuhkan rangka kerja perundangan dan meningkatkan keyakinan awam terhadap transaksi e-dagang serta mengurangkan penyelewengan dalam talian, Rang Undang-undang Transaksi Elektronik, Rang Undang-undang Aktiviti Kerajaan Elektronik dan Rang Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi akan digubal. Sektor swasta perlu memainkan peranan utama dalam mempercepatkan pertumbuhan e-dagang. Selaras dengan objektif tersebut, inisiatif yang akan diterajui oleh pemborong dan peruncit termasuk mendefinisi semula rantaian nilai dan menstruktur semula fungsi dan proses dalaman bagi menyertai secara berkesan dan menikmati faedah daripada e-dagang. Bagi mempertingkatkan proses pemindahan maklumat dan transaksi maya di kalangan peniaga, usaha akan diambil untuk menerima pakai standard global dalam mengenal pasti item, kaedah pengumpulan data serta penghantaran dan penerimaan mesej.

Peningkatan Penyertaan Bumiputera

9.34 Program POSPER akan dikembangkan untuk melahirkan sebanyak 1,250
usahawan baru. Sehubungan ini, PUNB akan bekerjasama dengan usahawan
utama di peringkat domestik dan global bagi meluaskan operasi sedia ada serta membangunkan rantaian peruncitan baru termasuk kedai konsep, pasar mini, dan kedai khusus. Skop dan liputan PROSPER akan diperluas bagi merangkumi perniagaan borong. Program ini menyediakan saluran tambahan bagi membantu peniaga kecil dan kontraktor Bumiputera mendapat bekalan secara lebih cekap Tumpuan yang lebih akan diberi kepada usaha untuk memperluaskan rangkaian sedia ada di sepanjang rantaian bekalan bagi meraih faedah ekonomi bidangan, meningkatkan keberkesanan, risikan pasaran dan kualiti serta profesionalisme, kemahiran penyeliaan dan pengurusan kewangan.

9.35 Profesional Bumiputera juga akan digalak untuk melibatkan diri dalam perniagaan runcit yang berasaskan profesion seperti klinik, farmasi dan kedai optikal. PNS yang merupakan agensi utama bagi francais dijangka membangunkan lebih daripada 50 produk dan perkhidmatan francais baru tempatan serta memperoleh francais terpilih dari luar negara khusus untuk disertai dan dimiliki oleh Bumiputera. Di samping itu, usaha akan diambil untuk meningkatkan peranan koperasi dalam pembangunan sektor perdagangan pengedaran. Sehubungan ini, koperasi akan digalak untuk meluaskan skop operasi dan mempromosikan produk tempatan melalui kerjasama strategik dengan pengedar yang terkemuka.

9.36 Dalam tempoh Rancangan, program latihan yang lebih khusus terutamanya yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan borong dan runcit yang moden akan dilaksana bagi membolehkan usahawan Bumiputera menghadapi cabaran dalam sektor perdagangan pengedaran akibat persaingan yang kian meningkat. Kursus sedia ada akan dipertingkat dan kursus baru diperkenalkan di beberapa institusi pendidikan dan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). Usaha akan dipergiatkan bagi membantu usahawan Bumiputera bergerak ke atas di rantaian nilai dan memasarkan produk runcit bernilai tinggi yang memerlukan daya inovasi, kreativiti dan bakat. Antara lain, industri seni dan kraf tangan perlu dipermoden dan dipertingkatkan supaya meliputi penyelidikan dan aktiviti mereka bentuk bagi mewujudkan permintaan baru dan memperluaskan pasaran di peringkat domestik dan luar negara.

Peningkatan Kesedaran dan Perlindungan Pengguna

9.37 Bagi meningkatkan kesedaran dan perlindungan pengguna, program pendidikan pengguna akan diperkembangkan kepada segmen pengguna yang lebih luas termasuk pelajar sekolah melalui kempen dan bengkel. Pendidikan etika perniagaan juga akan dipertingkatkan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi bagi menyemai etika dan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan. Program Perkongsian Pintar akan dimantapkan lagi bagi meningkatkan peranan badan bukan kerajaan dan kumpulan sukarelawan untuk mendidik orang awam mengenai isu berkaitan pengguna. Pemberian anugerah seperti Organisasi Pengguna Terbaik, Kelab Pengguna Terbaik dan Tokoh Pengguna akan diteruskan bagi mengiktiraf rakan kongsi dalam pendidikan dan perlindungan pengguna. Akta Perlindungan Pengguna 1999 akan dikaji semula untuk meningkatkan kebajikan pengguna. Skop Akta ini akan diperluaskan bagi merangkumi bidang baru seperti e-dagang, kesihatan dan penilaian risiko produk dan perkhidmatan termasuk organisma yang diubahsuai secara genetik. Undangundang yang dikaji semula akan memastikan pengguna mempunyai saluran yang mencukupi untuk membuat aduan dan membuat penyelesaian yang lebih cepat pada kos yang berpatutan.